Saturday, May 23, 2009
Masih ada lagi...WANITA SOLEHAH
Bingkisan buat Hamba Allah Bernama Wanita..
Menurut perspektif Islam, wanita adalah pelengkap
kepada lelaki, sekali gus memelihara keseimbangan
ciptaan Allah s.w.t. Malah Rasulullah s.a.w
memartabatkan kaum wanita pada kaca mata Islam sebagai
perhiasan dunia yang paling indah dan unik. Ini
sebagaimana sabda Baginda bermaksud: "Dunia ini penuh
perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita
yang solehah." - (Riwayat Muslim)
Hadis ini jelas menunjukkan betapa Islam memandang
tinggi kedudukan wanita dalam kehidupan global.
Jika ditelusuri dalam lembaran al-Quran, wanita
digambarkan dengan tiga fungsi penting.
Pertamanya, wanita dianggap sebagai fitnah dan musuh
andainya dia tidak dididik dan diasuh serta dibentuk
menurut acuan Islam.
Keduanya, wanita juga ujian bagi seseorang lelaki
dalam menerajui bahtera kehidupan ke arah kebahagiaan
dan kesejahteraan hidup.
Akhirnya, wanita adalah anugerah Ilahi yang istimewa
kepada lelaki yang mendambakan kemesraan dan
kebahagiaan hidup.
Sejarah Islam sebenarnya melahirkan ratusan
personaliti wanita terbilang yang menjadi teladan
kepada warga Muslimah dewasa ini.
Mereka adalah wanita contoh yang menempa tinta emas
yang mewarnai sejarah kegemilangan dan keunggulan
Islam. Sehubungan itu, Baginda Rasulullah s.a.w
bersabda yang bermaksud:
"Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala
wanita di dunia; mereka itu ialah Asiah binti Muzahim,
isteri Firaun; Maryam binti Imran, ibunda Isa;
Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah saw dan
Fatimah binti Muhammad, puteri kesayangan Baginda." -
(Riwayat Bukhari)
Asiah adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang
tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah,
meskipun hidup sebumbung bersama suaminya, Firaun yang
tidak beriman kepada Allah.
Maryam pula adalah simbol wanita dalam ibadahnya dan
ketinggian darjat ketakwaannya kepada Allah serta
mampu memelihara kesucian diri dan kehormatannya
ketika mengabdikan dirinya kepada Allah.
Manakala Khadijah pula adalah simbol kepada isteri
yang setia tanpa mengenal penat lelah mendampingi
suaminya menegakkan panji-panji kebenaran Islam,
berkorban jiwa raga dan segala harta bendanya serta
rela menanggung pelbagai risiko dan cabaran dalam
menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan pada bahu
Rasulullah.Akhirnya, Fatimah pula adalah simbol pelbagai dimensi
wanita yang solehah; anak yang soleh dan taat di
hadapan ayahandanya; isteri yang setia dan taat di
hadapan suaminya serta ibu yang bijaksana di hadapan
putera puterinya. Dialah pemuka segala wanita dan juga
seorang wanita mithali yang setiap detik kehidupan
yang dilaluinya, sewajarnya dijadikan ikutan Muslimah.
Demikianlah antara beberapa profil wanita Muslimah
contoh yang mewarnai pentas kehidupan dengan
ketenangan, kemesraan dan kesejahteraan hidup di dunia
dan akhirat.
Islam menganjurkan setiap Muslim yang bakal melangkah
alam perkahwinan agar berhati-hati memilih calon
isteri.
Kriteria calon isteri penting dalam kehidupan
berkeluarga kerana ia adalah antara ciri kesolehan
isteri yang dituntut Islam, di samping bakal menjamin
kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga.
Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
"Janganlah kamu nikahi wanita kerana kecantikannya,
kelak kecantikannya itu akan membinasakannya;
janganlah kamu nikahi wanita kerana hartanya, boleh
jadi hartanya akan menyebabkan kederhakaanmu;
sebaliknya nikahilah wanita yang beragama.
Sesungguhnya wanita yang tidak berhidung dan tuli
tetapi beragama, itu adalah lebih baik bagimu." -
(Riwayat Abdullah ibn Humaid).
Jelas di sini, bahawa aspek keagamaan dalam diri
seseorang isteri adalah penentu hala tuju sesebuah
rumah tangga yang dibina dan dibentuk.
Ini kerana agamanya yang bertapak kukuh dalam jiwa
sanubarinya, dia pasti akan taat kepada suaminya pada
semua perkara yang tidak bertentangan dengan perintah
Allah dan tidak mendatangkan mudarat kepadanya.
Isteri yang solehah juga akan bersifat amanah terhadap
harta benda suaminya, di samping menjaga maruahnya.
Sewaktu ketiadaan suaminya, seorang isteri solehah
memelihara dirinya dan maruahnya seperti tidak boleh
keluar rumah tanpa izinnya, tidak boleh menerima
tetamu yang tidak dikenali dan sebagainya.
Ketaatan dan sifat beramanah seorang isteri solehah
ini banyak dipengaruhi oleh firman Allah yang
bermaksud: "...perempuan yang solehah mestilah taat
dan memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan
suaminya dengan perlindungan Allah..." - (Surah
an-Nisa: 34)
Malah isteri yang solehah ingatannya sentiasa segar
dengan pesanan Baginda yang bermaksud: "Jika seseorang
wanita menunaikan solat lima waktu, berpuasa sebulan
Ramadan, memelihara kehormatannya, mentaati suaminya,
nescaya dia dapat masuk ke mana-mana saja pintu syurga
menurut kehendaknya." - (Riwayat Imam Ahmad)
Isteri solehah juga adalah isteri yang sentiasa
menyempurnakan keperluan suaminya, di samping
memelihara keredaannya pada setiap masa dan keadaan.
Ini kerana keredaan suami adalah anak kunci utama yang
melayakkannya menjadi penghuni syurga penuh
kenikmatan.
Sabda Rasulullah bermaksud: "Mana-mana isteri yang
meninggal dunia, sedangkan suaminya reda kepadanya,
nescaya isterinya akan masuk syurga." - (Riwayat
Al-Hakim dan Tirmizi)
Apa yang paling penting ialah isteri solehah adalah
pendidik dan pengasuh terbaik kepada anaknya yang juga
penyejuk hati ibu bapa dan saham akhirat yang
pahalanya berkekalan, biarpun ibu bapanya lama
meninggal dunia. Dengan agamanya itu, seseorang ibu
akan mewariskan segala ilmu agamanya kepada anaknya
agar mereka kelak akan menjadi anak soleh dan taat,
bukan saja kepada ibu bapa, bahkan taat kepada Allah.
Agama inilah ramuan terbaik yang boleh melenturkan
peribadi anak, perhiasan akhlak terpuji, mengisi minda
dan hati anak dengan keimanan dan ketakwaan serta
membimbing kehidupan ke arah keredaan Ilahi.
Demikianlah betapa besarnya fungsi seorang wanita yang
bertindak sekali gus sebagai isteri dan ibu solehah
dalam sesebuah institusi keluarga. Justeru, Allah
menganugerahkan ganjaran syurga bagi wanita solehah
yang beriman dan benar-benar melaksanakan
tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu dalam
kehidupan sehariannya.
Akhirnya, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya:
"Sebaik-baik wanita itu ialah wanita yang melahirkan
anak, yang penyayang, yang memelihara kehormatannya,
yang mulia pada kaca mata ahli keluarganya, yang
menghormati suaminya, menghiaskan dirinya hanya untuk
suaminya tercinta, memelihara diri daripada pandangan
orang lain, yang mendengar kata-kata suaminya dan
mentaati segala perintahnya. Apabila bersama suaminya,
dia memberikan apa saja yang diperlukan suaminya dan
dia tidak pula menolak ajakannya serta tidak
merendah-rendahkan atau menghina kedudukan suaminya di
hadapan orang lain." - (Riwayat Al-Tausi)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment